Penyanyi, Bob Yusof memberitahu dia masih mengekalkan konsep ala kadar dan tidak berlebihan ketika Hari Raya pada tahun ini. Menurut Bob, segala persiapan berjalan dengan lancar meskipun jadualnya agak padat dengan aktiviti seni.
Menerusi temu bual bersama pihak OhBulan!, Bob berkata tahun ini dia pulang beraya di Limbang, Sawarak. Tambah Bob, dia merupakan orang yang bertanggungjawab untuk memastikan semua kelengkapan Hari Raya siap sepenuhnya menjelang hari yang mulia ini.
Saya balik ke Limbang pada 17 April yang lalu dan akan tinggal di sini sehingga 2 Mei nanti.
Berbicara lebih lanjut, Bob memberitahu dia dan keluarga sudah boleh menjangka berapa ramai tetamu yang akan datang ke rumahnya pada Hari Raya tahun ini. Disoal mengenai persiapan baju raya, Bob dan keluarga akan memakai baju yang sedondon pada Hari Raya pertama dan baju pilihan masing-masing pada Hari Raya yang kedua.
Saya akan sediakan dua pasang baju raya baru pada hari raya pertama. Raya pertama kami akan pakai sedondon satu keluarga. Raya kedua akan ada satu lagi baju baru. Hari kedua tak kisah warna apa-apa. Ikut warna kesukaan masing-masing. Baju hari-hari seterusnya kami sekeluarga pakai baju apa yang ada macam tahun lepas punya.
Macam kampung saya, kami satu minggu penuh kena pakai baju melayu setiap hari. Kemeriahan baju melayu itu dari raya pertama sampai raya kelima kami masih pakai. Cuma sebelah malam kami bebas pakai kurta atau jubah. Ada juga yang memilih pakai baju melayu sampai ke malam.
Diminta untuk mengulas mengenai isu harga tiket penerbangan yang terlalu mahal ketika menjelang hari perayaan, pelantun suara ‘Cinta Seorang Teman’ ini berkata ianya sudah menjadi kebiasaan buat mereka yang akan pulang ke Sabah dan Sarawak.
Kami berharap kerajaan dapat buat rundingan dengan syarikat penerbangan agar dapat menimbangkan harga tiket musim perayaan. Kalau yang bujang pun rasa terkesan apatah lagi bagi mereka yang sudah berkeluarga. Kalau nak ulas lanjut, bukan rakyat tak suarakan. Tempat saya perlu dua penerbangan dari Kuala Lumpur ke Miri dan Miri ke Limbang. Saya perlu beli dua tiket. Kalau boleh harga itu biar berpatutan dan tidak tinggi.
Kasihan mereka yang ada keluarga. Kepada mereka yang bertanggungjawab, tengoklah kesan buruk kepada rakyat yang duduk jauh ini. Saya rasa benda ini patut dijadikan ‘highlight’.
Di penghujung sesi temu bual, pihak OhBulan! sempat bertanya kepada Bob mengenai momen raya yang paling diingati sehingga ke hari ini.
Momen raya yang saya ingat dan rindu mungkin zaman kanak-kanak. Kami raya di kampung bersama arwah atuk. Arwah atuk ada pelihara monyet. Kalau pasang pelita, monyet akan jadi tukang padam dan buang. Itu momen yang saya ingat sampai sekarang. Banyak sebenarnya momen masam manis raya bersama keluarga.
Keluarga abang pun dah berkurangan. Ibunda tercinta dah tiada. Jadi bila raya ni rasa kehilangan walaupun ibu sudah meninggal pada tahun 2012. Sedikit kami rasa suram ketika raya.
Walau macam manapun kita yang hidup kena meneruskan kehidupan. Saya dan keluarga akan layan peminat dan pengunjung yang datang ke rumah kami seperti biasa. Kami akan utamakan apa yang sepatutnya. Meriah tetap meriah cuma itulah rasa kehilangan sikit.
Akhir sekali, Bob turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua peminatnya dan pembaca OhBulan!.