Bila sebut tentang dulang hantaran mesti ramai yang terbayang telefon pintar, barangan kemas, beg tangan dan sebagainya yang dianggap mewah untuk diberikan kepada pasangan masing-masing di hari bersejarah mereka.
Namun berbeza buat Muhammad Faiz Md Hashim yang mahu menghadiahkan sesuatu benar-benar ‘berharga’ buat isterinya Nur Nadiah Mohamad Ridzuan.
Sehelai surat mengisi dulang hantaran buat Nadiah, jika dilihat dari jauh mungkin ada yang kira ianya geran tanah. Untunglah Nadiah dapat tanah terus sebagai hantaran kan?
Tapi itu salah, Nadiah jauh lebih beruntung sebab Faiz sebenarnya memilih untuk mendaftarkan isterinya di dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
Jika ada yang belum tahu, SKSSR diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022.
Skim ini bertujuan untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga.
Duit bukan segalanya dan tidak menjadi pengukur utama cinta saya kepada Nadiah namun andai ada musibah menimpa, duit bakal menjadi ujian tegar buat kami – Faiz
Menurut Faiz, perkara tersebut bagaimanapun mengundang pelbagai persoalan daripada orang tua mereka pada awalnya.
Tetapi setelah diberi tahu sebab di sebelik ‘hadiah’ bermakna ini, ibu bapa mereka malah menjadi terharu dan bangga dengan keputusan mereka.
Berbanding segelintir lelaki lain yang mengusahakan ‘payung emas’, Faiz pula memilih untuk bersiap sedia bagi menghadapi masa depan dengan “Menyediakan payung sebelum hujan.”
Tambahnya lagi, beliau memilih SKSSR berpandukan maqasid syariah yang mana satu daripada limanya adalah melindungi nyawa. Dengan manfaat daripada caruman skim itu, perubatan dan ilat isterinya akan terpelihara.
Faiz juga menyifatkan bahawa ini adalah tanda penghargaan buat isterinya.
“Penat, jerih, sakit dan lelah seorang isteri tidak harus dibiar sepi tanpa pengiktirafan tertinggi. Kalau bukan hadir daripada suami, siapa lagi?” Ujar Faiz.