Rasanya sudah lama tidak mendengar perkhabaran penyampai radio terkenal, Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI. Dia baru sahaja pulang ke tanah air pada Julai tahun lalu selepas melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Universiti Cardiff, United Kingdom pada 2019 dan merahsiakan kepulangannya.
Banyak perkara dan rahsia mengenai dirinya yang terpaksa ditutup kerana tidak mahu mencetus salah sangka dalam kalangan netizen yang tidak tahu situasi sebenar menimpa penyampai radio ini.
Memetik laporan BH Online, difahamkan Faizal mengalami tekanan sehinggakan dia gelisah dan mengalami gangguan tidur. Situasi berkenaan secara tidak langsung telah menyebabkan Faizal tidak sihat, berat badan susut selama tujuh bulan berlanjutan di UK. Faizal telah membuat keputusan untuk kembali ke Malaysia dalam keadaan dirinya tidak bertenaga dan segera mendapatkan pemeriksaan doktor mengenai kondisi dirinya.
Sebenarnya, apa yang berlaku, saya terima ujian tidak boleh tidur di mana tidak tahu apa puncanya. Jiwa asyik rasa gelisah, seolah-olah ada sesuatu tidak kena sehingga saya tertekan. Mungkin disebabkan masalah gangguan tidur menyebabkan saya tidak sihat, rasa seperti bukan diri saya. Saya tidak mahu keluar rumah, berat badan susut dan perkara itu berlanjutan selama tujuh bulan.
Saya rasa lain macam. Selepas berbincang dengan emak dan ayah, akhirnya, saya buat keputusan pulang ke Malaysia. Saya balik dalam keadaan kehilangan tenaga. Sebelum pulang, beberapa kali saya ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Namun, Alhamdulillah doktor beritahu tiada masalah kesihatan lain.
Ustaz berpesan agar solat pada awal waktu dan berjemaah. Namun, berikutan ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, saya tidak dapat menunaikan solat di masjid. Dalam keadaan diri yang tiada tenaga, saya cuba amalkan sebaik mungkin pesanan ustaz. Saya belajar untuk istiqamah dan nekad mengubah diri serta menjaga hubungan dengan Allah.
Ujar Faizal lagi, dia sempat bertemu dengan ayah kesayangan pada sekitar Jun lalu sebelum ayahnya menghembuskan nafas terakhir. Faizal dinasihati untuk mengamalkan zikir dan sentiasa menjaga solat lima waktu sebagai usaha memulihkan keadaan dirinya.
Selama ini, bukan saya tidak solat, tetapi bukan seperti apa yang dilakukan sekarang. Dahulu saya alpa, apabila sibuk dengan kerja, saya tolak solat ke tepi dan selesaikan kerja dahulu. Sekarang, selain menjaga solat awal waktu, saya banyak amalkan zikir dan membaca al-Quran.
Jika tidak kerana jemaah tabligh, mungkin sehingga hari ini saya masih berkurung di rumah dan belum sedia untuk bergaul dengan masyarakat. Mungkin inilah jalan keluar yang saya pinta selama ini. Allah tunjukkan jalan keluar.
Sementara itu, Faizal berkata perkenalannya dengan jemaah tabligh bermula apabila dirinya dihubungi seorang rakan. Dia mengakui perasaannya cukup berbeza apabila bersama jemaah tabligh yang dipimpin oleh Ustaz Khan Daie.
Semua ini berlaku secara tidak sengaja. Saya dihubungi rakan yang tahu masalah saya. Dia memberi maklumat mengenai kumpulan tabligh yang akan pergi ke Batang Kali, Selangor. Kebetulan ketika itu, saya ada di Batang Kali untuk berubat. Jadi, saya ambil peluang sertai mereka. Di situ saya berjumpa Khairil Rashid, DR Sam, Datuk Nash dan Ali XPDC. Walaupun itu kali pertama saya menyertai jemaah tabligh tetapi banyak pengisian yang saya peroleh selama tiga hari.
Saya mula yakin untuk keluar rumah sejak mengikut jemaah tabligh. Kalau dahulu, saya sentiasa bimbang untuk keluar sehingga tujuh bulan terperap di rumah. Namun, sejak menyertai tabligh, saya beroleh keyakinan untuk berjumpa orang dan sudah kembali bekerja.
Perkembangan terkini, Faizal telah membuka saluran TV digital yang dikenali sebagai Hidayat TV bersama Khairil. Hidayat TV adalah platform dakwah digital yang menampilkan dakwah secara santai. Segala ilmu yang dipelajari Faizal dan tazkirah yang disampaikan ketika mengikuti jemaah tabligh dikongsikan di saluran tersebut.
Sumber: BH Online