Scott O’niel (kiri) dan CS Lim (kanan) melancarkan MINILAND Amazing Malaysia.
Lokasi percutian ideal buat keluarga, LEGOLAND® Malaysia Resort baru-baru ini mengadakan sesi pratonton eksklusif rancangan pembinaan model LEGO® baharu yang menampilkan landskap, seni bina dan budaya indah dari timur ke barat Malaysia.
Sesi penanaman pokok di tapak MINILAND.
Binaan yang dikenali sebagai MINILAND Amazing Malaysia ini, bakal ditempatkan di Taman Tema LEGOLAND dan dilancarkan menjelang Ogos 2023. Pengunjung berpeluang melihat tapak warisan yang unik seperti suasana budaya di Kota Bahru, Kelantan, landskap Gua Mulu, Sarawak dan kesibukan Georgetown, Pulau Pinang.
Lebih menarik, MINILAND Amazing Malaysia akan menjadi pengalaman interaktif dengan permainan 2 pemain dan animasi penuh aksi di seluruh kawasan seluas 381 meter persegi. Pengunjung pasti akan tertarik dengan cerita dan detik budaya Malaysia yang unik tanpa perlu meninggalkan resort.
Menurut Pengarah Bahagian, LEGOLAND Malaysia Resort, CS Lim, Malaysia mempunyai banyak destinasi yang dipenuhi seni bina, landskap, budaya dan sejarah menarik menjadikannya pilihan tetap untuk dijadikan binaan LEGO baharu di MINILAND.
Tetamu akan dapat merasai destinasi Malaysia dengan hanya sekali henti di LEGOLAND Malaysia Resort. Kami berharap selepas lawatan ke MINILAND Amazing Malaysia, tetamu akan mendapat inspirasi untuk merancang percutian mereka yang seterusnya sekali gus meningkatkan ekonomi pelancongan negara.
MINILAND Amazing Malaysia baharu dijadualkan siap dipasang dalam masa 2 bulan dan dijangka mengambil masa sehingga 14,000 jam pembinaan. Amazing Malaysia akan dibina dengan 1.38 juta batu bata LEGO dan akan menampilkan 126 model LEGO yang dibahagikan kepada Malaysia Timur, Malaysia Barat dan Laut China Selatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Merlin Entertainments, Scott O’Neil pula berkata, LEGOLAND Malaysia Resort unik dengan penerapan budaya tempatan membuatkan pengunjung sama ada dari dalam mahupun luar negara ingin kembali berulang kali.
Banyak pelaburan dan aktiviti unik kami dapat dicapai dengan sokongan padu daripada kerajaan Malaysia. Justeru, Merlin Entertainments komited untuk terus melabur dalam LEGOLAND Malaysia Resort untuk beberapa tahun akan datang.
Struktur teduhan setinggi 5 tingkat yang meliputi seluruh kawasan MINILAND.
Sementara itu, tetamu yang merancang untuk berkunjung ke LEGOLAND Malaysia Resort kini boleh menikmati keindahan MINILAND tidak kira ketika cuaca terik mahupun hujan dengan adanya struktur teduhan setinggi 5 tingkat baharu yang meliputi seluruh kawasan tersebut.
Para tetamu boleh menikmati pengalaman lebih sejuk dan selesa sambil berinteraksi dengan karya LEGO yang dibina dengan lebih 30 juta batu bata LEGO mempamerkan tarikan terkenal dari 17 negara Asia.