Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan inisiatif terbaharu pasaran modal bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran 9,000 graduan dan membangunkan saluran bakat mampan, dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.
Seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2023, inisiatif ini diterajui oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan dibiayai oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF) dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.
Nak tahu lebih lanjut tentang program ni? Jom baca untuk tahu apa yang ditawarkan!
Dalam majlis pelancaran tersebut, Perdana Menteri turut mengumumkan nama rasmi inisiatif tersebut iaitu investED – “Melahirkan Tenaga Mahir Pasaran Modal”.
Ia diadakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Bursa Malaysia, serta permain industri pasaran modal yang terkemuka. Ia juga merupakan kolaborasi pertama antara SC, industri pasaran modal, dan universiti.
Sebanyak 2,400 graduan akan mendapat manfaat daripada Program Asasi investED, sebuah program pensijilan berstruktur yang dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC), badan pembelajaran dan pembangunan SC.
Program investED selaras dengan dasar kerajaan untuk memperkukuhkan sistem pendidikan tinggi, melalui kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
Sementara itu, sesi perkongsian kerjaya yang melibatkan penceramah dari SC dan industri pasaran modal turut diadakan.
Mahasiswa daripada lebih 15 universiti awam dan swasta turut serta dalam sesi tersebut bagi mendapatkan prospek peluang kerjaya dalam industri pasaran modal.
Manakala, menerusi Program Kepimpinan investED ini, graduan yang terpilih akan menerima elaun sebanyak RM2,000 dalam tempoh latihan formal dan elaun bulanan minimum sebanyak RM2,400 dalam tempoh penempatan kerja.
Bukan tu je, investED juga dijangka membuka peluang pekerjaan kepada sebanyak 600 graduan melalui penempatan pekerjaan dan latihan dalam pekerjaan yang disediakan oleh firma dalam industri pasaran modal di bawah Program Kepimpinan investED.
Selain itu, program ini juga akan melibatkan pembelajaran komprehensif selama sebulan dan penempatan kerja selama enam bulan di syarikat-syarikat yang ditetapkan.
Wah, mesti korang boleh belajar banyak benda dalam tempoh tersebut!
Buat korang yang berminat, permohonan kini sudah dibuka kepada graduan baharu serta pelajar yang bakal menamatkan pengajian pada tahun ini.
Untuk buat permohonan, korang boleh klik sini – Permohonan Program Kepimpinan investED
Program Kepimpinan investED yang pertama kali dianjurkan ini melibatkan penyertaan lebih 70 syarikat pasaran modal. Program ini menyediakan lebih 200 penempatan pekerjaan kepada pelajar yang mengambil bahagian, termasuk 150 pekerjaan tetap.
Untuk maklumat lanjut mengenai investED dan program-programnya, sila layari laman web rasmi InvestED