Harga tiket penerbangan yang terlalu tinggi menyebabkan ramai golongan perantau dari Sabah dan Sarawak terpaksa melupakan hasrat untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Bagi mereka yang sudah berkeluarga, mereka antara golongan yang paling terkesan kerana perlu berbelanja besar termasuk untuk membeli tiket mahal yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan.
Menerusi temu bual bersama pihak OhBulan! pelantun suara ‘Elegi Sepi’, Azharina Azhar sempat berkongsi pengalaman membeli tiket penerbangan ‘last minute’ tatkala menjelang hari perayaan.
Menurut Azharina, isu harga tiket mahal ini sudah menjadi kebiasaan buat mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak setiap kali menjelang hari perayaan.
Tak pernah hari perayaan harga murah. Tak kisahlah perayaan apa pun harga memang akan naik. Ini taktik syarikat penerbangan. Saya pernah tanya dekat ceo sebuah pusat penerbangan kenapa harga mahal. Tapi isu ini masih sama setiap tahun. Saya pernah beli tiket ‘last minute’ hampir RM10,000 untuk empat orang pulang ke Sabah. Jadi saya dah jangka benda ini akan berlaku setiap tahun. Saya beli lewat pun sebab sibuk bekerja.
Ditanya sama ada akan pulang ke Sabah atau tidak pada tahun ini, Azharina berkata dia akan beraya di rumah sendiri iaitu di Puchong. Namun, akan pulang ke Sabah nanti.
Harga tiket mahal, kami sahaja dekat RM4,000 lebih untuk tahun ini. Saya akan raya di rumah sendiri dahulu. Pada masa yang sama, saya bersyukur rumah emak di Keningau, Sabah sudah siap. Jadi kami dah ada kampung.
Berbicara mengenai persiapan Hari Raya, Azharina memberitahu dia sudah melakukan segala persiapan sejak awal Ramadan lagi. Bahkan baju raya untuk anak-anaknya juga sudah ditempah awal secara atas talian dari luar negara.
Persiapan sangatlah sibuk pada awalnya. Namun semuanya sudah siap. Ayam daging semua saya dah sediakan. Baju kami sekeluarga pun dah lama siap. Tahun ini ramai orang datang beraya di rumah saya. Saya sediakan tiga pasang baju minimun untuk raya tahun ini. Ada yang saya dah beli dekat Australia tempoh hari. Barang pun ada yang kirim dari sana.
Baju melayu anak-anak saya dah tempah dari luar negara. Dua minggu puasa semua dah selesai. Senang. Anak-anak pula ikut sahaja apa yang saya siapkan. Tema kami tahun ini warna hitam. Jadi mereka tahu baju itu akan pakai waktu raya nanti.
Berkongsi mengenai momen raya yang masih diingati sehingga ke hari ini, Azharina memberitahu dia sangat merindui momen bersama arwah datuk dan nenek. Ini kerana, dia dibesarkan oleh arwah datuk dan nenek sejak kecil.
Bila mereka berdua sudah tiada, vibes tu rasa macam tak ada dalam diri saya. Tapi saya kena terima dan ambil sebagai positif. Allah ganti anak-anak kepada saya.