Memandangkan jadual bulan Ramadan pada tahun ini agak padat, penyanyi, Ayu Damit mengambil pendekatan untuk merancang jadual sebaik yang mungkin agar Hari Raya Aidilfitri kali ini tidak menjadi kelam kabut buat dirinya dan keluarga.
Menerusi temu bual bersama OhBulan!, Ayu berkata persiapan tahun ini agak sederhana dan mereka sekeluarga memilih tema yang paling ‘simple’ iaitu warna hitam. Tambah Ayu, mereka akan pulang ke Kuala Kangsar, Perak untuk sambut Aidilfitri pada tahun ini.
Tahun ini kami tak balik Sabah sebab giliran kampung suami. Saya dah sedia dua pasang baju raya. Meskipun tahun ini saya aktif menyanyi, berniaga dan belajar, semua persiapan telah dilakukan dengan baik sekali. Suami pun banyak membantu supaya tidak jadi kelam kabut. Kami memang rancang jadual awal-awal.
Disoal mengenai momen raya yang masih diingati, Ayu memberitahu dia teringat momen buat kuih raya ‘last minute’.
Saya pernah terlupa buat kuih untuk diri sendiri. Momen main mercun dan kutip duit raya juga antara yang saya ingat sampai sekarang.
Sebagai anak kelahiran Sabah, Ayu turut berkongsi pandangannya mengenai harga tiket penerbangan yang mahal tatkala menjelang musim perayaan. Ujar Ayu, setiap tahun akan timbul isu yang sama. Jadi, syarikat penerbangan perlu mendengar suara rakyat lebih-lebih lagi mereka yang sudah berkeluarga.
Bayangkan kami lima orang anak beranak dah berapa ribu setiap kali balik Sabah.
Di akhir sesi temu bual, Ayu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua pembaca OhBulan! dan buat semua ahli keluarga, peminat dan penyokongnya.